SACOFA adakan perjanjian definitif dengan penyedia infrastruktur telekomunikasi MSAR

NORMA BAHARU: Majlis menandatangani secara maya di antara SACOFA-MSAR kelmarin.

KUCHING – Syarikat infrastruktur ICT terkemuka Sarawak, SACOFA Sdn Bhd (SACOFA) semalam telah mengadakan perjanjian definitif dengan sebuah penyedia infrastruktur telekomunikasi dari Semenanjung Malaysia, MSA Resources Sdn Bhd (MSAR).

Kedua-dua phak menjalankan langganan, jualan dan pembelian saham bersama untuk mengukuhkan lagi infrastruktur telekomunikasi digital Malaysia dan meningkatkan pertumbuhan ekosistem telekomunikasi secara keseluruhan.

“Kedua-dua syarikat ini menyokong jauh keseluruha usaha telekomunikasi nasional seperti yang digariskan oleh inisiatif kerajaan persekutuan JENDELA dan MyDigital” kata dalam satu kenyataan semalam.

Di bawah perjanjian definitif tersebut yang ditandatangani di Kuala Lumpur oleh MSAR dan di Kuching oleh SACOFA, menunjukkan pemerolehan awal 30 peratus kepada 50 peratus MSAR.

Kedua-duanya juga telah mengadakan pakatan strategik bersama menjalankan projek infrastruktur telekomunikasi dari Semenanjung Malaysia dan diperluaskan ke negara-negara ASEAN yang berjiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

“MSAR gembira mengalu-alukan SACOFA sebagai pemegang saham terbaru kami. Ia selaras dengan visi menjadikan MSAR sebagai pusat kuasa infrastruktur telekomunikasi yang berpengalaman dan berkepakaran daripada SACOFA,” kata Pengarah Urusan MSAR Saiful Husni Samak menerusi kenyataan itu semalam.

Pihaknya kini sedang membangun rangkaian serat optik baharu dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, pada jarak 1,063km dalam satu gentian yakni pembinaan terpanjang rangkaian optik sedang dijalankan di Semenanjung Malaysia.

“Kini bersama SACOFA, pihak kami berada dalam posisi yang lebih baik untuk melancarkan perkhidmatan infrastruktur mudah alih seperti menara dan tiang untuk 5G di sepanjang lebuh raya utama di Semenanjung Malaysia. Rangkaian latensi rendah baharu ini akan berfungsi sebagai platform untuk penggunaan teknologi masa depan di sepanjang lebuh raya seperti IoT, lebuh raya pintar, kenderaan autonomi dan banyak lagi. Tagline syarikat kami adalah ‘Membangun Komuniti, Menyatukan Bangsa’ sejajar dengan inisiatif kerajaan persekutuan di bawah JENDELA dan MyDigital,” tambahnya.

Pihaknya turut berhasrat menjadi rakan kongsi kerjaan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, PDRM dan Kementerian Kesihatan. Pada masa yang sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Mohamed Zaid Zaini berkata SACOFA selama 20 tahun telah memfokuskan kepada pembinaan dalam meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak.

“Ini sejajar dengan inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri, khususnya dalam membangunkan JENDELA menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Selain itu, Strategi Ekonomi Digital 2018-2022 yang dimulakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bertujuan melonjakkan ekonomi Sarawak melalui ekonomi digital ke arah negara berpendapatan tinggi. Kami juga secara aktif meningkatkan kesalinghubungan untuk menghubungkan Sarawak dengan dunia,” tegasnya.

Perjanjian definitif tersebut ditandatangani Timbalan Pengerusi Eksekutif MSAR Mohd Sofian Mohd Arshad, Pengarah Urusan MSAR Saiful Husni Samak, Ketua Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Perniagaan MSAR Razlan Joffri Mohd Radzi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Mohamed Zaid Zaini dan Naib Presiden, Strategi Korporat dan Penasihat Umum SACOFA Ainor Khaliq Anuarudin.

Menyaksikan majlis menandatangani maya itu adalah Pengerusi MSAR Senator Tan Sri Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad, Timbalan Pengerusi SACOFA Dato Isaac Lugun, bersama kakitangan pengurusan kanan MSAR dan SACOFA.

Sumber: Utusan Borneo